Skip to main content

Perutusan Pengerusi MUSLEH : Sempena Hari Murabbi MUSLEH~

Tema: “Murabbi MUSLEH: Membentuk Akhlak Mulia”

بسم الله والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن تبع هداه وبعد
،

Kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat ilahi azza wajalla di atas segala inayah wal hidayah wat taufiq-Nya swt ke atas kita semua sehingga kini. Kita amat bersyukur kepada Allah swt dan mendoakan moga-moga perjalanan Majlis ini diberkati-Nya – amiin. Moga-moga Allah swt memberi kita kekuatan iman dan taqwa; dan memudahkan kita menjana generasi rabani berteraskan konsep aqidah at-tauhid melalui pendekatan holistik dan pengurusan professional – amiin. 
Sesungguhnya kita amat bersyukur kerana dengan rahmat dan taufiq Allah swt, kita masih lagi dikurniakan kekuatan ruhiyah, jasadiyah dan aqliyah untuk beribadah dan meneruskan perjuangan memperkasa pendidikan islam di dalam masyarakat ke arah memimpin barisan umat Islam, yang melindungi manusia dan alam, berasaskan syariat Islamiyah. 

Sesungguhnya medan pendidikan ini adalah suatu medan yang amat mulia dan penting dalam Islam. Ia adalah suatu medan dimana anak-anak kita dididik, diasuh, dibimbing, dipimpin, dirangsang dan ditarbiyah sehinggalah mereka dibentuk dengan asas-asas yang kukuh sebagai seorang muslim yang bakal menjadi خليفة الله فى الأرض (khalifatullah fil ard). Beramal ibadah dalam medan ini juga bukan sahaja menjanjikan limpahan rahmat Allah swt, tetapi juga memberi kesan-kesan yang amat positif kepada pembangunan masyarakat, negara dan ummah. Anak-anak yang terdidik dengan akhlak mulia sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw dan para salafus soleh kelak akan menjamin keharmonian hidup bermasyarakat, ekonomi yang mapan dan kestabilan pemerintahan negara. Begitulah besarnya kemaslahatan yang dijanjikan oleh medan pendidikan ini – khususnya pendidikan Islam; maka sama-samalah kita memperkasakannya. 

Rasulullah saw pernah bersabda:-


إنما بعثت لأتمم مكارم ( و في رواية صالح ) الأخلاق  


Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia (dalam riwayat lain:  akhlak yang soleh). Riwayat Muslim. 

Walaupun kita dapati Rasulullah saw telah memperlihatkan pelbagai peranan sepanjang zaman nubuwah – contohnya sebagai suami, bapa, sahabat, ketua Negara dan ketua tentera perang – tetapi sesungguhnya Rasulullah saw telah diutuskan oleh Allah swt untuk menyempurnakan akhlak mulia dalam diri setiap insan. 

Allah swt telah memuji akhlak Rasulullah saw dengan firman-Nya swt (Surah Al-Qalam: 4)

dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.

Aisyah ra pernah ditanya mengenai akhlak Rasulullah saw. Beliau menjawab:
كان خلقه القرآن  
Akhlaknya saw adalah al-Quran. Riwayat Muslim.

Akhlak mulia seseorang hendaklah dimulakan dengan menjaga keikhlasan niyat dalam setiap amalan. Sabda Rasulullah saw:

"Dari Amirul Mukminin Umar Al-Khattab ra katanya: "Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: 'Hanyasanya amalan-amalan itu adalah (bergantung) kepada niat, dan hanyasanya bagi setiap manusia itu apa (balasan) yang diniatkannya.' Riwayat Bukhari dan Muslim. InsyaAllah, dengan sifat keikhlasan yang tertanam dalam dirinya, Allah swt akan memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian.

Firman Allah swt dalam surah Yusuf: 24: 
   
Yusuf 24. dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepada-Nya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa.

Apabila seseorang muslim bertutur, beliau hendaklah berkata-kata yang  خيرsahaja iaitu kata-kata yang mengajak kepada maarof, melarang daripada kemungkaran dan yang meningkatkan keimanan kepada Allah swt. 

Dari Abu Hurairah ra, bahawasanya Rasulullah saw bersabda: "Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah berkata yang baik atau berdiam diri… "Riwayat Bukhari dan Muslim.

Lidahnya pula hendaklah sentiasa diawasi …

Dalam sebuah hadis, dari Muaz bin Jabal ra, berkata “… kemudian Nabi bersabda lagi: "Mahukah engkau aku khabarkan pokok amalan, tiangnya dan kemuncaknya?" Aku menjawab:"Mahu, ya Rasulullah."Sabda baginda:"Pokok amalan ialah Islam, tiangnya ialah sembahyang dan kemuncaknya ialah jihad."Kemudian Nabi bersabda lagi:"Mahukah engkau aku khabarkan kunci kepada semua pekara ini?"Aku menjawab:" Mahu, ya Rasulullah."Lalu baginda memegang lidahnya seraya berkata:"Awas, jaga ini baik-baik." Aku bertanya:"Ya Rasulullah, adakah kami akan dituntut kerana berkata dengannya?" Baginda lalu menjawab:"Dan tidak akan dicampakkan manusia ke atas muka mereka atau batang hidung mereka ke dalam neraka, melainkan hasil tutur bicara mereka." Riwayat At-Tirmizi.

Ketika seorang muslim beramal samada dalam urusan duniawi atau ukhrawi, beliau hendaklah melakukannya dengan sempurna …

Dari Abi Ya'la Syaddad bin Aus ra, bahawa Rasulullah saw bersabda:"Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berihsan (menyempurnakan sesuatu dengan baik) terhadap semua perkara. Seandainya kamu membunuh, maka bunuhlah secara sempurna, dan apabila menyembelih maka elokkanlah penyembelihan. Hendaklah seseorang kamu menajamkan mata pisaunya dan merehatkan penyembelihannya. " Riwayat Muslim.

… dengan bersungguh-sungguh …

Dalam surah Hajj: 78, Allah swt berfirman:-
(# 
“ … dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya …”

… dengan cara beramal jamei. 

Dari Abu Hurairah ra., dari Nabi saw, yang bersabda:"Barangsiapa yang melapangkan seorang mukmin suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskan dirinya dari suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan di hari kiamat.  Dan barangsiapa yang meringankan penderitaan seorang yang susah, nescaya Allah akan meringankan penderitaan dirinya di dunia dan di akhirat. Barangsiapa yang menutup keaipan seorang Muslim, nescaya Allah akan menutup keaipannya di akhirat. Dan Allah selalu menolong hamba-Nya, selagi hamba-Nya berusaha menolong saudaranya.  Barangsiapa yang menuju satu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah akan memudahkan suatu jalan baginya ke syurga. Dan tidak berhimpun suatu kelompok manusia dalam suatu rumah dari rumah-rumah Allah, mereka membaca Kitabullah dan mempelajarainya antara sesama mereka, melainkan diturunkan ke atas perhimpunan mereka ketenteraman, diliputi oleh rahmat, di kelilingi oleh para Malaikat dan disebut Allah kepada sesiapa yang di sisi-Nya. Riwayat Muslim.

Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik ra, khadam kepada Rasulullah saw, bersabda Nabi saw: "Tiada beriman seseorang kamu, sehinggalah ia mencintai saudaranya sama seperti ia mencintai dirinya sendiri". Riwayat Bukhari dan Muslim.

... dan amalan yang berasaskan ketaqwaan. 

Dari Abu Dzar, Jundub bin Junadah dan Abu Abdul Rahman, Muaz bin Jabal ra, dari Rasulullah saw, sabdanya:"Bertaqwalah kepada Allah di mana saja engkau berada. Iringkanlah perbuatan jahat itu dengan perbuatan baik, mudah-mudahan yang baik itu akan memadam yang jahat. Dan berperangai kepada manusia dengan perangai yang bagus." Riwayat At-Tirmizi.

InsyaAllah, dengan tertanamnya ciri ketaqwaan dalam diri seseorang dan dengan tersebar luasnya suasana ketaqwaan di persekitarannya, maka rahmat Allah swt yang bakal diperolehinya sungguh banyak – memperolehi  kasih dan cinta Allah swt (Ali Imran:76), bersama-sama dengan Allah swt (al-Baqarah:194), mendapat perlindungan Allah swt (al-Jaatsiyah :19), urusannya dipermudahkan Allah swt (al-Lail: 5-7), turun barakah dari langit (al-A’raf:96), dikurniakan furqan (al-Anfaal: 29), mendapat rezki yang tiada disangka-sangkanya (at-Tolaq: 2-3), mendapat kaffarah (at-Tolaq:5), meraih Jannatul Firdaus dan kemenangan (al-Hijr : 45-46) dikurniakan syurga dan kenikmatan” (at-Thur :17), naungan (yang teduh) dan kemenangan (an-Naba’:31). 

Peristiwa-peristiwa yang berlaku saban hari, banyak memberi peringatan kepada kita. Gunung Eyjafjallajökull (sebut: ei yaf ya fla yuk) iaitu sebuah gunung berapi di Iceland masih memuntahkan debuan gunung berapi (volcanic ash) semenjak bulan April lalu. Insiden itu telah mengakibatkan a chain of unprecedented events – dimana pihak berkuasa telah membuat keputusan menutup lapangan terbang utama di utara dan barat Eropah, ratusan ribu penumpang kapal terbang terkandas di serata dunia, syarikat kapal terbang melaporkan kerugian melebihi USD1.7 billion, syarikat-syarikat mengalami kerugian besar kerana barangan dagangan mereka terkandas, pertumbuhan KDNK terbantut dan pemulihan ekonomi dunia terjejas. Greece debt crisis pula mengancam kestabilan ekonomi negara-negara khususnya negara-negara European Union. Krisis tumpahan minyak (oil spills crisis) di Telok Mexico mengancam ekosistem lautan. Global warming pula mengancam beberapa buah negara; dimana negara-negara tersebut bermungkinan akan lenyap dari permukaan bumi kerana ditengalami air buat selama-lamanya. 

Semua cabaran tersebut – politik, ekonomi, teknologi dan environmen – pastinya akan memberi kesan yang besar kepada kestabilan jiwa individu, keluarga dan masyarakat. Saban hari, kita diperlihatkan petanda-petandanya; kes-kes buang bayi, penderaan kanak-kanak dan juvenile delinquency (jenayah remaja).

Ciri-ciri akhlak mulia dan suasana persekitaran (biah) solihah seperti yang tersebut di atas itulah yang perlu kita bina dan bentuk dalam diri anak-anak dan sekolah kita. Kita yakin bahawa, anak-anak yang telah ditarbiyah dengan ahklak mulia dan adab islami bukan sahaja mampu menenteramkan jiwanya, justru menyekat penularan sifat mazmumah dalam masyarakat. Malah generasi rabani yang berakhlak dan beradab akan mampu membangun suatu tamaddun yang diberkati dan diredhoi Allah swt بلدة طيبة و رب غفور  (baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur). Sama-samalah kita menjayakannya. InsyaAllah. 

Para murabbi sekelian. Apabila kita melakukan sesuatu kebaikan, kita sewajarnya gembira, berbangga dan berharap kepada keredhoaan Allah swt. Begitu jugalah sebaliknya, jika kita tersilap atau berdosa, kita sewajarnya merasa sedih, takut dengan azab-Nya swt dan berharap kepada keampunan-Nya swt. Inilah ciri-ciri orang yang bersyukur. 

Oleh itu, kita amat gembira, berbangga dan bersyukur serta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua warga MUSLEH yang telah berjaya melahirkan juara-juara di pelbagai peringkat kejohanan bagi pelajar SRI-SMI. Dalam hal ini, kita rakamkan tahniah khususnya ditujukan kepada tenaga pendidik yang telah bermujahadah dan berkorban dalam usaha membina dan melahirkan juara-juara tersebut. 

Tahniah ditujukan khususnya kepada warga SMI Hidayah JB dan SMI Al-Amin Gombak di atas kejayaan mereka yang cemerlang di Kejohanan Debat Pelajar peringkat kebangsaan dan antarabangsa. 

Moga-moga anak didik kita akan mampu memimpin ummah dan melaksanakan amanah أستاذية العالم   (ustaziyatul alam) dengan jayanya pada suatu masa kelak – amiin. 

Selamat Menyambut Hari Murabbi MUSLEH 201O

Comments

Popular posts from this blog

Oh Bulan !!!

"And made the moon therein a [reflected] light and made the sun a burning lamp?" Nuh [71:16]

Benarlah kata-kata ini....Penantian Satu Penyeksaan